ABDUL HAMID MUDJIB HAMID BERSHOLAWAT

Senin, 18 Juli 2011

Al-Imam Ahmad bin Hanbal RA

Al-Imam Ahmad bin Hanbal RA [164H/781M -241H/856M]
================================================
Imam Abu ‘Abd Allah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal dilahirkan di Baghdad, Iraq, pada tahun 164H/781M. Ayahnya seorang mujahid Islam dan meninggal dunia pada umur muda 30 tahun. Ahmad kemudiannya dibesarkan oleh ibunya Saifiyah binti Maimunah. Imam Ahmad bin Hanbal menghafal al-Qur’an sejak kecil dan pada umurnya 16 tahun dia sudah menjadi penghafal hadis yang terkenal. Imam Ahmad bin Hanbal meneruskan pengajian hadisnya dengan sekian ramai guru dan beliau pada akhir hayatnya dijangkakan telah menghafal lebih daripada sejuta hadis termasuk barisan perawinya.

Pada tahun 189H/805M Imam Ahmad bin Hanbal berhijrah ke Basrah dan tidak lama kemudian ke Mekah dan Madinah untuk menuntut ilmu. Di sana beliau sempat duduk berguru dengan Imam al-Syafi‘e. Sebelum itu guru-gurunya yang masyhur ialah Abu Yusuf, Husain ibn Abi Hazim al-Washithi, ‘Umar ibn ‘Abd Allah ibn Khalid, ‘Abd al-Rahman ibn Mahdi dan Abu Bakar ibn ‘Iyasy. Pada tahun 198H Imam Ahmad bin Hanbal ke negeri Yaman pula untuk berguru dengan ‘Abd al-Razzaq ibn Humam, seorang ahli hadith yang besar ketika itu, terkenal dengan kitabnya yang berjudul al-Musannaf. Dalam perjalanannya ini Imam Ahmad mula menulis hadith-hadith yang dihafalnya setelah sekian lama.

Imam Ahmad bin Hanbal kembali semula ke Baghdad dan mula mengajar. Kehebatannya sebagai seorang ahli hadith dan pakar fiqah menarik perhatian orang ramai dan mereka mula mengerumuninya untuk belajar bersama. Antara anak muridnya yang kemudian berjaya menjadi tokoh hadith terkenal ialah al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud. al-Qasim ibn Salam pernah berkata:

“Ahmad bin Hanbal adalah orang yang paling ahli dalam bidang hukum dan aku tidak melihat ada orang yang lebih mengetahui tentang al-Sunnah selain dia. Dia tidak pernah bersenda gurau, dia selalu berdiam diri, tidak memperkatakan apa-apa selain ilmu.”

Imam Ahmad bin Hanbal pernah mengalami pengalaman hidup dalam penjara kerana kekerasannya menentang Mazhab Mu’tazilah yang diterima oleh pemerintah Abbasid ketika itu. Mereka (pemerintah) memaksa Imam Ahmad mengesahkan mazhab baru tersebut. Imam Ahmad enggan dan ini menyebabkan beliau dirotan dalam penjara sehingga tidak sedarkan diri.

Akibat ketegasan Imam Ahmad serta tekanan daripada para orang ramai akhirnya menyebabkan pihak pemerintah Abbasid terpaksa membebaskan beliau. Imam Ahmad kemudian meneruskan pengajarannya kepada orang ramai sehinggalah kematiannya pada tahun 241H/856M. Imam Ahmad bin Hanbal meninggalkan kepada dunia Islam kitab hadithnya yang terkenal iaitu al-Musnad yang mengandungi lebih kurang 30,000 hadith Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dan atsar para sahabat radhiallahu ‘anhum. Dua orang anaknya yang utama meneruskan perjuangan ayah mereka, iaitu ‘Abd Allah bin Ahmad dan Salih bin Ahmad.

Demikianlah tamatnya secara ringkas riwayat hidup para imam empat mazhab yang masyhur itu.

Wallahu'alam

Tidak ada komentar:

Posting Komentar