
Antara  tujuan Junjungan Nabi SAW diutuskan adalah untuk menyempurnakan  kemuliaan dan keluhuran akhlak terpuji. Bagindalah contoh suri tauladan  unggul bagi sekalian umat. Maka hakislah kemuliaan seseorang itu  walaupun dia memiliki susur nasab yang mulia dek kerana akhlak yang  bejat. Dari itulah, maka 
al-`Arif Billah Mawlay al-`Arabiy ad-Darqawi al-Hasani (wafat tahun 1239H/1823M) 
rahimahUllah dalam warkahnya menulis, antara lain sebagai berikut:-

Dengarlah  wahai faqir, bahawasanya aku telah menegur sebahagian syurafa` (yakni  para syarif yang bernasab kepada Junjungan Nabi SAW) - moga-moga Allah  meredhai mereka - yang melakukan kesalahan kepada sebahagian manusia:  "Sesiapa yang mendakwa dirinya seorang syarif, sedangkan akhlak  perilakunya keji, maka dia adalah seorang pendusta, kerana syarif yang  sebenar adalah seorang yang mulia akhlaknya. Bagaimana dia boleh  berakhlak keji, sedangkan dia berasal daripada Junjungan Nabi SAW - yang  mana Allah telah berfirman memuji baginda : " Dan sesungguhnya engkau  memiliki akhlak yang amat agung." Oleh itu, wahai saudaraku, sekiranya  engkau tidak bersifat dengan sifat baginda, tidak berperangai dengan  perangai baginda, maka dari arah mana jadinya engkau daripada baginda ?  Dan dari pintu mana engkau hendak bertaqarrub dengan baginda ? Kerana  tiadalah bagi Junjungan Rasulullah SAW itu selain daripada akhlak yang  mulia dan kebaikan yang unggul semata-mata, sekali-kali baginda tidak  memiliki akhlak dan perangai selainnya. Dan Allahlah sandaran atas apa  yang kami nyatakan.
Oleh itu, wahai para saadah yang  dimuliakan, jagalah akhlak kalian. Jangan sombong, sentiasalah tawadhu  dan bersikap khumul sebagaimana para leluhur kalian terdahulu. Jauhilah  sikap sukakan kemasyhuran sehingga memaksa-maksa untuk disanjung dan  dijunjung. Tugas dan tanggungjawab kalian amat besar kerana kalian  adalah pemanggul panji-panji 
Baitun Nubuwwah.  Perilaku dan akhlak kalian menjadi contoh dan tauladan bagi kami, umat  nenda kalian yang lemah ini. Bantulah kami untuk menghidupkan akhlak  mulia sebagaimana anjuran Paduka Junjungan Baginda Muhammad SAW. 
 
Tidak ada komentar:
Posting Komentar