Nabi SAW:مَنْ صَلَّى عَلَيَّ فِي كِتَابٍ لَمْ تَزَلِ الْمَلَائِكَةُ تَسْنَغْفِرُ لَهُ مَا دَامَ اسْمِي فِي ذَلِكَ الْكِتَابِ (Barang siapa menulis sholawat kpdku dlm sebtah buku, maka para malaikat selalu memohonkan ampun kpd Alloh pd org itu selama namaku masih tertulis dlm buku itu). اَلتَّحِيَّاتُ الْمُبَارَكَاتُ الصَّلَوَاتُ الطَّيِّبَاتُ لِلّٰهِ اَلسَّلاَمُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ اَلسَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللهِ الصَّالِحِيْنَ
Minggu, 03 Juli 2011
Al-Syeikh 'Abdul Hamid Kudus: Pengajar dan Imam di Masjidilharam
Al-Syeikh 'Abdul Hamid Kudus: Pengajar dan Imam di Masjidilharam
=========================================================
Pendahuluan: Suatu ketika dahulu, di Tanah Haram Makkah, ramai ulama Melayu yang menempa nama disana. Kedudukan dan kemashyuran mereka setanding dengan ulama dari tanah ‘arab. Di antara mereka adalah Syeikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani, Syeikh Arsyad al-Banjari, Syeikh ‘Abdus Shmad al-Falimbani, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Khatib Sambas, Syeikh Mahfuz Termas, Syeikh Abdul Hamid Kudus, Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, Sayyid Muhsin al-Musawi al-Falimbani, Syeikh Muhammad Mukhtar bin Atharid al-Bughri, Syeikh Yasin bin Isa al-Fadani dan ramai lagi. Ada dikalangan mereka yang menjadi pengajar, khatib dan imam di Masjidilharam.
Salah seorang ulama besar yang al-Fagir ingin perkenalkan kali ini adalah Syeikh Abdul Hamid. Seorang ulama besar yang menjadi pengajar dan juga imam mazhab Syaf’ie di Maqam Ibrahim, Makkah.
Latar belakang: Nama tubuh beliau adalah ‘Abdul Hamid bin Muhammad ‘Ali Qudus/Kudus bin ‘Abdul Qadir al-Khathib bin ‘Abdullah bin Mujir Qudus/Kudus. Beliau lahir di kota Makkah. Tarikh lahir seperti yang tersebut di dalam al-Mukhtashar Min Nasyr an-Nur wa az-Zahar ialah 1277H/1860M, dan di dalam Siyar wa Tarajim dinyatakan lahir pada 1280H/1863M. Manakala dalam kitab Kanz an-Najah wa as-Surur, pada bahagian biografi beliau, dinyatakan beliau lahir pada tahun 1277H atau 1278H di rumah ayah beliau berdekatan Bab Daribah (yakni salah satu daripada pintu-pintu Masjidil Haram). Asal-usul keluarga beliau adalah dari Hadramaut, yang kemudiannya berhijrah ke Indonesia.
Pendidikan: Beliau mendapat pendidikan awal daripada ayahanda beliau, Syeikh Muhammad ‘Ali Qudus (wafat 1293H di Makkah). Sejak kecil menghafaz al-Quran dan terlatih dengan banyak matan pelbagai bidang ilmu. Matan-matan yang dihafalnya sejak kecil ialah Matan al-Ajrumiyah, Matan al-Alfiyah, Matan ar-Rahbiyah, Matan as-Sanusiyah, Matan as-Sullam dan Matan az-Zubad.
Seterusnya, ayahanda beliau meyuruh beliau belajar daripada ulama-ulama besar Makkah di halaqah-halaqah mereka di Masjidil Haram. Selain dari Makkah, beliau juga belajar di Mesir. Menurut al-Muarrikh Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shahgir di dalam penulisan beliau mengenai tokoh ini: Manakala Syeikh Ahmad al-Fathani telah merintis jalan mulai belajar di Masjid Jamik al-Azhar (tahun 1290H/1872M), Syeikh Abdul Hamid Kudus mengikuti langkah “rais thala’ah”/ketua telaah (tutor)nya itu belajar di tempat yang sama (1300H/1882M). Syeikh ‘Abdul Hamid Kudus merupakan generasi yang kedua mahasiswa dunia Melayu yang belajar di al-Azhar, sesudah Syeikh Ahmad al-Fathani, sejak itu beliau sentiasa pulang pergi antara Makkah dan Mesir dalam urusan tertentu yang ada kaitannya dengan kerja-kerja Syeikh Ahmad al-Fathani. (Koleksi Ulama Nusantara, Jilid 2, halaman 87)
Guru-guru beliau: Beliau belajar dan bersuhbah dengan ramai ulama besar Makkah, Madinah, Mesir dan Syria serta memperoleh ijazah khusus dan umum daripada mereka. Beliau juga diberi keizinan oleh ulama-ulama tersebut untuk mengajar di Masjidilharam dan di rumahnya. Antara guru-guru beliau:
Ayahanda beliau sendiri, Syeikh Muhammad ‘Ali Kudus (wafat 1293H di Makkah). Beliau belajar membaca al-Quran, ilmu-ilmu asas dan menghafal matan. Selain itu beliau belajar Syarah al-Ghayah wa at-Taqrib, Syarah al-Ajrumiyyah.
Al-Imam Syeikhul Islam as-Sayyid Ahmad bin Zaini Dahlan al-Hasani al-Jilani al-Makki, Mufti Syafi’iyyah di Makkah (wafat 1304 di Madinah). Dari tokoh ulama ini, beliau mempelajari pelbagai bidang ilmu. Antara kitab yang dipelajari: Tafsir al-Baidhawi, Ihya Ulumiddin, Jam’ul Jawami` dan lain-lain.
As-Sayyid Umar Syatha (wafat 1331H). Antara kitab yang dipelajari: Syarah al-Kufrawi ‘ala al-Ajrumiyyah, Matan BaFadhal yakni Muqaddimah al-Hadhramiyyah, Umm al-Barahin, Matan Jauharah, Matan Zubad, Alfiyyah Ibn Malik. Selain itu beliau juga diijazahkan perbagai wirid dan hizib dan juga Dalailul Khairaat.
As-Sayyid Utsman Syatha (wafat 1290H). Syeikh Abdul Hamid Kudus mempelajari kitab Hasyiah al-‘Asymaawi ‘ala al-Ajrumiyyah dan Syarah al-Ghaayah dalam ilmu fiqih.
As-Sayyid Bakri Syatha - pengarang kitab I’anah at-Thalibin (wafat 1310H). Merupakan guru utama beliau. Dari tokoh ini beliau mempelajari pelbagai bidang ilmu. Beliau mengatakan bahwa, beliau beroleh futuh hasil dari bimbingan guru kesayangan beliau ini. Dan beliau telah mengarang kitab mengenai biografi guru beliau ini berjudul Kanzul `Atha fi Tarjamah al-'Allamah as-Saiyid Bakri Syatha
Al-‘Allamah as-Sayyid Mufti Makkah al-Habib Hussin bin Muhammad bin Hussin al-Habsyi (beliau adalah saudara al-Habib ‘Ali bin Muhammad bin Hussin al-Habsyi, shohib Maulid Simtud Durar. Wafat 1330H). Syeikh Abdul Hamid Kudus belajar Shahih Muslim bi Syarh an-Nawawi di Thaif pada tahun 1314H. Dari ulama ini Syeikh Abdul Hamid Kudus telah dipakaikan khirqah shufi dan ditalqinkan dhikir. Dan beliau juga diberi ijazah ‘ammah. Dan Syeikh Abdul Hamid Kudus ada menulis kitab tentang guru beliau ini berjudul مواهب المعيد المنشي في مآثر العلامة السيد حسين بن محمد بن حسين الحبشي
Al-‘Allamah as-Sayyid Muhammad bin ‘Abdul Baqi al-Ahdal
Al-‘Allamah as-Sayyid Sulaiman bin Muhammad bin ‘Abdurrahman al-Ahdal, Mufti Besar Zabid (wafat 1305H)
Al-‘Allamah al-Faqih an-Nahrir asy-Syeikh ‘Abdul Hamid ad-Daaghistani asy-Syirwani – pengarang kitab Hasyiah ‘Ala Tuhfah al-Muhtaj (wafat 1301H)
Asy-Syeikh al-‘Allamah Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Mufti Makkah (wafat 1335) - Syeikh Abdul Hamid Kudus pula adalah orang kepercayaan Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki
Al-‘Allamah Muhammad Abu Khidhir ad-Dumyathi al-Madani
Asy-Syeikh al-Adiib ‘Abdul Jalil Baradah al-Madani (wafat 1327H)
Asy-Syeikh as-Sholeh Sidi Marjan ash-Shaghir al-Madani (wafat 1304H) – darinya Syeikh Abdul Hamid Kudus ditalqinkan dhikir Thariqat Khalwatiyah. Asy-Syeikh as-Sholeh Sidi Marjan ash-Shaghir menerima thariqah Khalwatiyyah daripada Syeikh Ahmad ash-Showi dan beliau menerima daripada Syeikh Ahmad ad-Dardir. Syeikh Abdul Hamid Kudus juga menerima thariqah Khalwatiyyah daripada masyaikh lain sepertimana yang beliau sebut di dalam kitabnya Al-Futuhat al-Qudsiyah.
Asy-Syeikh ‘Abdurrahman asy-Syarbini (wafat 1326H)
Asy-Syeikh Ahmad ar-Rifai (wafat 1325H)
Asy-Syeikh al-‘Allamah Yusuf bin Ismail an-Nabhani (wafat 1325H di Beirut)
Asy-Syeikh al-‘Allamah al-Faqih Umar bin Abu Bakar BaJunaid (wafat 1324H di Makkah)
Asy-Syeikh al-‘Allamah ‘Abdurrahman al-Hanafi
Asy-Syeikh al-‘Allamah al-Faqih Sa’id Yamani al-Khalidi al-Makki
Setelah mempelajari pelbagai bidangi ilmu dan mendapat keizinan untuk mengajar, Syeikh Abdul Hamid Kudus mula mengajar di Masjidilharam dan juga di rumah beliau. Ramai penuntut ilmu yang menghadiri halaqah beliau. Antara murid-murid beliau:
Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh ‘Abdul Hamid Kudus (wafat 1360H di Makkah)
Syeikh ‘Ali bin Syeikh ‘Abdul Hamid Kudus as-Samarani (lahirkan tahun 1310H/1892M dan wafat pada hari Isnin, 14 Syawal 1363H/1 Oktober 1944M. Selain berguru dengan ayahnya, beliau juga berguru dengan Syeikh Mahfuz Termas dan Syeikh Mukhtar ‘Atarid Bogor – dua ulama besar Melayu yang terkenal di Makkah. Pada tahun 1343H/1925M beliau bersama keluarganya berpindah ke Jawa Timur dan membuka sebuah madrasah disana. Selanjutnya beliau berpindah pula ke Sulawesi untuk menyebarkan ilmu. Menghasilkan sebuah karangan berjudul ar-Raddu ‘ala ar-Rawafidh iaitu sebauh kitab yang menolak golongan Syi’ah)
Asy-Syeikh Abu Bakar bin Muhammad Sa’id BaBashil (wafat 1348H)
Al-‘Allamah as-Sayyid Ahmad Idris bin Muhammad al-Ahdal (wafat 1357H di Zabid, Yaman)
Al-‘Allamah as-Sayyid ‘Abdurrahman bin Muhammad al-Ahdal (wafat 1372H)
Al-Qadhi al-‘Allamah al-Musnid ‘Abdul Waasi’ (wafat 1369H)
Al-‘Allamah al-Habib ‘Ali bin ‘Abdurrahman al-Habsyi Kwitang, Jakarta (wafat 1388H)
Dan ramai lagi
Karya: Selain dari mengajar, Syeikh Abdul Hamid Kudus telah mengarang pelbagai judul dalam banyak disiplin ilmu dan semuanya dalam bahasa Arab. Antara karangan Syeikh Abdul Hamid Kudus adalah sebagai berikut:
Irsyad al- Muhtadi ila Syarh Kifayah al-Mubtadi, diselesaikan sesudah Dzuhur, hari Khamis, 3 Muharam 1306H. Kandungannya membicarakan aqidah dan ia merupakan syarah daripada karya ayahnya, Syeikh Muhammad Ali Kudus. Dicetak oleh Mathba'ah al-Maimuniyah, Mesir, Ramadhan 1309H. Di bahagian tepinya dicetak matan karya ayahnya, Syeikh Muhammad Ali Kudus tersebut. Ditashih oleh Muhammad az-Zahari al-Ghamrawi.
Al-Anwar as-Saniyah `ala ad-Durar al-Bahiyah, diselesaikan pertengahan Rabiulakhir 1311H. Kandungannya membicarakan aqidah, fiqih dan tasawuf. Merupakan syarah daripada karya gurunya Sayyid Abi Bakar Syatha. Cetakan pertama, Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah Makkah, 1313H.
Fath al-Jalil al-Kafi bi Mutammimah al-Matn al-Kafi fi `Ilm al-`Arudh wa al-Qawafi, diselesaikan pada hari Isnin, 19 Rabiulawal 1313H. Kandungannya membicarakan ilmu ‘arudh dan qawafi atau kesusasteraan Arab. Dicetak oleh Mathba'ah al-Husainiyah al-Mashriyah, milik Muhammad Abdul Lathif Khathib, 1325H. Kata pujian oleh Sayid Ahmad Bik al-Huseini, Muhammad Musa al-Bujiraimi as-Syafi'ie di al-Azhar, Muhammad al-Halaby as-Syafi'ie di al-Azhar dan Ahmad ad-Dalbasyani al-Hanafi di al-Azhar. Ditashih oleh Muhammad az-Zahari al-Ghamrawi.
Al-Futuuhaat al-Qudsiyah fi Syarh at-Tawassulaat as-Sammaniyah, diselesaikan pada Zuhur, akhir Muharam 1322H. Kandungan pada muqaddimahnya pengarang menyebut bahawa beliau adalah penganut Mazhab Syafie dalam fiqih, Mazhab Abu Hasan al-Asy'ari dalam ‘aqidah, dan penganut Thariqat Khalwatiyah. Sebab-sebab beliau menulis kitab ini adalah atas permintaan Qadhi Muslimin Negeri Surakarta ibu kota Jawa, beliau ialah Al-'Allamah al-Hamam asy Syeikh Raden Tabshirul Anam, supaya menulis syarah matan Al-Qashidah al-Rajziyah yang bernama Jaliyah al-Kurbi wa Manilah al-`Arabi. Pada awal perbicaraan pengarang menyebut tentang sanad-sanad thariqat, di antaranya beliau juga mempunyai hubungan dengan Syeikh Abdus Shamad bin Abdur Rahman al-Falimbani. Dicetak oleh Mathba'ah al-Hamidiyah al-Mashriyah, 1323 H. Taqriz dinyatakan ramai ulama tetapi yang dapat disebut pada akhir karangan hanya dua orang ulama saja ialah Syeikh Jami' Al-Azhar, bernama Syeikh Abdur Rahman asy-Syarbaini asy-Syafi'ie dan Syeikh Muhammad Thumum al-Maliki Al-Azhari.
Lathaif al-Isyaaraat ila Syarh Tashiil at-Thuruqaat li Nazham al-Waraqaat fi al-Ushuul al-Fiqhiyaat, diselesaikan pada hari Isnin, 12 Rabiulawal 1326H. Kandungannya membicarakan ilmu ushul fiqih. Terdapat berbagai-bagai edisi cetakan, di antaranya Mathba'ah Dar at-Thiba'ah al-Mashriyah, 54-60 Baserah Street Singapura (tanpa tahun).
Kanz an-Najaah wa as-Suraur fi ad-Ad'iyah allati Tasyrah ash-Shuduur, diselesaikan pada hari Jumaat, bulan Safar 1328H. Kandungannya membicarakan berbagai-bagai amalan wirid, doa, zikir dan lain-lain. Cetakan pertama oleh Mathba'ah At-Taraqqil Majidiyah al-'Utsmaniyah, Makkah, 1330 H. Kata pujian oleh Syeikh Muhammad Sa'id bin Muhammad BaBashail, Makkah, Sayyid Husein bin Muhammad bin Husein al-Habsyi, Sayyid Umar bin Muhammad Syatha, Sayyid Muhammad ibnu Sayyid Muhammad ibnu al-Faqih Sayyid Idris al-Qadiri al-Maghribi al-Hasani, Syeikh Muhammad bin Syamsuddin, Syeikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani, dan Syeikh Umar Hamdan.
Risalah fi al-Basmalah min Nahiyah al-Balaghah.
Manzhumah fi al-Adab wa al-Akhlaq li al-Islamiyah.
Thali'us Sa'di ar-Rafi' fi Syarh Ilm al-Badi'.
Fiqh Rubu' `Ibadat.
Nubzah fi at-Tashawwuf.
Ad-Durrah ats-Tsaminah fi al-Mawadhi' allati tusannu fiha ash-Shalah `ala Shahib as-Sakinah.
Tasythir al-Mudharriyah fi ash-Shalah `ala Khair al-Bariyah.
Majmu' Bulugh al-Maram fi Maulid an-Nabiyi Shallalahu `alaihi wa Sallam
Raja' Nail al-As'ad wa al-Qabul fi Madah Saiyidatina az-Zahra' al-Batul.
Bulugh as-Sa'di wa al-Amniyah fi Madah Umm al-Mu'minin al-Mabra-ah ash-Shiddiqiyah.
Al-Jawahir al-Wadhiyah fi al-Adab wa al-Akhlaq al-Mardhiyah.
Az-Zakhair al-Qudsiyah fi Ziyarah Khair al-Bariyah صلى الله عليه وآله وسلم.
At-Tuhfah al-Mardhiyah fi Tafsir al-Quran al-'Azhim bi al-'Ajamiyah
Dhiya asy Syams adh-Dhahiyah ‘ala al-Hasanaat al-Maahiyyah.
Maulidun Nabiyi Shallalahu `alaihi wa Sallam.
Kanz al-`Atha fi Tarjamah al-'Allamah as-Saiyid Bakri Syatha.
Syeikh 'Abdul Hamid Kudus mempunyai perpustakaannya sendiri, di mana mengandungi sejumlah lebihkurang 1,820 buah kitab dalam pelbagai bidang seperti tafsir, hadits, figih, bahasa arab, sastera arab dan lain-lain.
Meninggal dunia: Syeikh Abdul Hamid Kudus wafat di Makkah al-Mukarramah pada tahun 1334H/1915M. Beliau menutup umur pada usia lebihkurang 57 tahun dan dimakamkan di Ma’ala, Makkah.
Sekian dari,
al-fagir abuzahrah
khamis, 3 muharram 1432H
rumah, taman seri gombak
Sumber:
1. Koleksi Ulama Nusantara (Jilid 2) (Artikel Bersiri Akhbar Utusan Malaysia) Tahun 2005, terbitan Khazanah Fathaniyah, 1430H/2009M
2. Kanz an-Najaah wa as-Suruur fi al-Ad’iyyah al-Ma`tsurah Allati Tasyrahu ash-Shuduur, Dar al-Haawi, 1430H/2009M
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar