Sayyid Muhammad ibn Alwi al-Maliki Tentang Maulid (6-Tamat)
=======================================================
Sumber: orgawam
Sebahagian Kitab Yang Masyhur Berkenaan Maulid
=================================================
Kitab-kitab yang ditulis berkenaan maulid terlalu banyak, dalam pelbagai bentuk penulisan. Di sini kita tidak akan menyebut semua kitab tersebut, tetapi kita akan menyebutkan sebahagian sahaja daripadanya, terutamanya dari pada huffazul hadits, serta para Imam, yang ada menulis kitab maulid dan terkenal pula karangan mereka ini. Cukuplah sekian banyak kitab ini menjadi pedoman kita akan keutamaan dan kemuliaan maulid Nabi ini.
Antara yang mengarang kitab-kitab tersebut adalah:
1) Al-Imam al-Muhaddis al-Hafiz Abdul Rahman bin Ali yang terkenal dengan Abulfaraj ibnul Jauzi (wafat tahun 597H), dan maulidnya yang masyhur dinamakan “Al-Arus”. Telah dicetak di Mesir berulang kali.
2) Al-Imam al-Muhaddis al-Musnid al-Hafiz Abulkhattab Umar bin Ali bin Muhammad yang terkenal dengan Ibn Dahyatilkalbi (wafat tahun 633H). Beliau mengarang maulid yang hebat yang mempunyai tahqiq yang begitu berfaedah yang dinamakan “At-Tanwir Fi Maulidil Basyirin Nadzir”
3) Al-Imam Syeikhul Qurra’ Waimamul Qiraat pada zamannya, al-Hafiz al-Muhaddis al-Musnid al-Jami’ Abulkhair Syamsuddin Muhammad bin Abdullah al-Juzuri asy-Syafi’e (wafat tahun 660H). Maulidnya dalam bentuk manuskrip berjudul “‘Urfutta’rif bilmaulidis syarif”
4) Al-Imam al-Mufti al-Muarrikh al-Muhaddis al-Hafiz ‘Imaduddin Ismail bin Umar ibn Katsir, penyusun tafsir dan kitab sejarah yang terkenal (wafat tahun 774H). Ibn Katsir telah menyusun satu maulid nabi yang telah pun diterbitkan dan ditahqiq oleh Dr Solahuddin al-Munjid.
Kemudiannya maulid ini telah ditanzimkan dan disyarahkan oleh al-’Allamah al-Faqih as-Sayyid Muhammad bin Salim bin Hafidz, Mufti Tarim, dan diberi komentar pula oleh al-Marhum al-Muhaddis as-Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki, yang telah diterbitkan di Syria pada tahun 1387H.
5) Al-Imam al-Kabir wal’alim asy-Syahir, Hafizul Islam wa ‘Umdatul Anam, wa Marja’il Muhaddisin al-A’lam, al-Hafiz Abdul Rahim ibn Husain bin Abdul Rahman al-Misri, yang terkenal dengan al-Hafiz al-Iraqi (725H – 808H). Maulidnya yang mulia dan hebat, dinamakan “Al-Mauridul Hana” dan telah disebutkan oleh ramai huffaz seperti Ibn Fahd dan As-Suyuthi.
6) Al-Imam al-Muhaddis al-Hafiz Muhammad bin Abi Bakr bin Abdillah al-Qisi ad-Dimasyqi asy-Syafie, yang terkenal dengan al-Hafiz Ibn Nasiriddin ad-Dimasyqi (777-842H). Beliau merupakan ulamak yang membela Ibn Taymiyah malah menulis kitab bagi menjawab pertuduhan ke atas Ibn Taimiyah. Beliau telah menulis beberapa kitab maulid, antaranya:
i) “Jami’ul Atsaar Fi Maulidinnabiyil Mukhtar” dalam 3 Jilid
ii) “Al-Lafdzurra’iq Fi Maulid Khairil Khalaiq” – berbentuk ringkasan. iii) “Maurid As-Sabiy Fi Maulid Al-Hadi”
7) Al-Imam al-Muarrikh al-Kabir wal Hafiz asy-Syahir Muhammad bin Abdul Rahman al-Qahiri yang terkenal dengan al-Hafiz as-Sakhawi (831-902H) yang mengarang kitab Addiyaullami’ dan kitab-kitab lain yang berfaedah. Beliau telah menyusun maulid Nabi dan dinamakan “Al-Fakhrul ‘Alawi Fi al-Maulid an-Nabawi” (Disebutkannya dalam kitab ad-Diyaullami’, Juzuk 8, halaman 18).
8 ) Al-Allamah al-Faqih ss-Sayyid Ali Zainal Abidin as-Samhudi al-Hasani, pakar sejarah dari Madinah al-Munawarrah (wafat tahun 911H). Maulidnya yang ringkas (sekitar 30 muka surat) dinamakan “Al-Mawarid Al-Haniyah Fi Maulid Khairil Bariyyah”. Kitab ini dalam tulisan khat nasakh yang cantik dan boleh didapati di perpustakaan-perpustakaan di Madinah, Mesir dan Turki.
9) Al-Hafiz Wajihuddin Abdul Rahman bin Ali bin Muhammad asy-Syaibani al-Yamani az-Zabidi asy-Syafie, yang terkenal dengan Ibn Daibai’e. beliau dilahirkan pada bulan Muharram 866H, dan meninggal dunia pada hari Jumaat, 12 Rejab 944H. Beliau merupakan salah seorang Imam pada zaman beliau, dan merupakan kemuncak masyaikhul hadits. Beliau telah meriwayatkan hadits-hadits al-Bukhari lebih seratus kali, dan membacanya sekali dalam masa enam hari. Beliau telah menyusun maulid yang amat masyhur dan dibaca di merata dunia (maulid daibaie). Maulid ini juga telah ditahqiq, diberi komentar serta ditakhrijkan haditsnya oleh al-Marhum al-Muhaddits as-Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki.
10) Al-’Allamah al-Faqih al-Hujjah Syihabuddin Ahmad ibn Hajar al-Haitami (wafat tahun 974H). Beliau merupakan mufti Mazhab Syafie di Makkah al-Mukarramah. Beliau telah mengarang maulid yang sederhana (71 mukasurat) dengan tulisan khat naskh yang jelas yang boleh didapati di Mesir dan Turki. Beliau namakannya “Itmamun Ni’mah ‘Alal ‘Alam Bimaulid Saiyidi Waladi Adam”. Selain itu beliau juga menulis satu lagi maulid yang ringkas, yang telah diterbitkan di Mesir dengan nama “An-Ni’matul Kubra ‘Alal ‘Alam Fi Maulid Saiyidi Waladi Adam”.
As-Syeikh Ibrahim al-Bajuri pula telah mensyarahkannya dalam bentuk hasyiah dan dinamakannya : “Tuhfatul Basyar ‘ala Maulid Ibn Hajar”
11) Al-’Allamah al-Faqih asy-Syaikh Muhammad bin Ahmad ys-Syarbini al-Khatib (wafat tahun 977H). Maulidnya dalam bentuk manuskrip sebanyak 50 halaman, dengan tulisan yang kecil tetapi boleh dibaca.
12) Al-’Allamah al-Muhaddits al-Musnid al-Faqih asy-Syaikh Nuruddin Ali bin Sultan al-Harawi, yang terkenal dengan al-Mulla Ali al-Qari (wafat tahun 1014H) yang mensyarahkan kitab al-Misykat. Beliau telah mengarang maulid dengan judul “Al-Maulidurrawi Fil Maulidin Nabawi”. Kitab ini juga telah ditahqiq dan diberi komentar oleh al-Marhum al-Muhaddits as-Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki, dan dicetak di Matba’ah As-Sa’adah Mesir tahun 1400H/1980M.
13) Al-’Allamah al-Muhaddits al-Musnid as-Sayyid Ja’far bin Hasan bin Abdil Karim al-Barzanji, Mufti Mazhab As-Syafi’e di Madinah al-Munawarah (khilaf pada tahun wafatnya, 1177H atau 1184H). Beliau merupakan penyusun maulid yang termasyhur yang digelar Maulid al-Barzanji. Sebahagian ulama menyatakan nama sebenar kitab ini ialah “‘Aqdul Jauhar Fi Maulidin Nabiyil Azhar”. Maulid ini merupakan maulid yang termasyhur dan paling luas tersebar di negara-negara Arab dan Islam, di timur dan barat. Malah dihafal dan dibaca oleh orang Arab dan ‘Ajam pada perhimpunan-perhimpunan mereka yang berbentuk kemasyarakatan dan keagamaan.
14) Al-’Allamah Abul Barakat Ahmad bin Muhammad bin Ahmad al-’Adawi yang terkenal dengan ad-Dardir (wafat tahun 1201H). Maulidnya yang ringkas telah dicetak di Mesir dan terdapat hasyiah yang luas padanya oleh Syeikul Islam di Mesir, al-Allamah As-Syeikh Ibrahim bin Muhammad bin Ahmad al-Baijuri atau al-Bajuri (wafat tahun 1277H).
15) Al-’Allamah asy-Syeikh Abdul Hadi Naja al-Abyari Al-Misri (wafat tahun 1305H). Maulidnya yang ringkas dalam bentuk manuskrip.
16) Al-Imam al-’Arifbillah al-Muhaddits al-Musnid as-Sayyid asy-Syarif Muhammad bin Ja’far al-Kattani al-Hasani (wafat tahun 1345H). Maulidnya berjudul (Al-Yumnu Wal-Is’ad Bimaulid Kharil ‘Ibad” dalam 60 halaman, telah diterbitkan di Maghribi pada tahun 1345H.
17) Al-’Allamah al-Muhaqqiq asy-Syeikh Yusuf an-Nabhani (wafat tahun 1350H). Maulidnya dalam bentuk susunan bait dinamakan “Jawahirun Nazmul Badi’ Fi Maulidis Syafi’” diterbitkan di Beirut berulangkali.
Begitulah sebahagian daripada kitab-kitab maulid yang telah disusun oleh para ulamak ummat Islam yang terkenal. Kebanyakan maulid yang ada hari ini dikarang oleh para huffaz, muhaddisin dan ulamak yang masyhur. Cukuplah bagi kita melihat betapa maulid ini begitu dimuliakan oleh para ulamak silam, tetapi cuba diingkari oleh mereka yang mengaku cerdik pandai dalam agama di zaman ini.
نسأل الله سبحانه و تعالى تمامها وظهورها و أن يجعلها خالصة لوجهه الكريم
وصلى الله وسلم وبارك على يسدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين
- TAMAT TERJEMAHAN-
Penutup
Semoga terjemahan ini memberi gambaran sebenar yang jelas serta kefahaman yang jitu kepada para pembaca tentang persoalan menyambut maulid Nabi صلى الله عليه وسلم . Usahlah terpedaya kepada mereka yang menentang akan sambutan ini. Saya, Abu Zahrah mengucapkan jutaan terimakasih kepada al-Fadhil Ustaz Sayyid Abdul Kadir al-Joofre karena mengizinkan saya untuk menggunakan sebahagian daripada terjemahannya serta membuat pengolahan. Dan semoga Allah merahmati dan memberkati penulis asal kitab iaitu al-Marhum al-Muhaddits as-Sayyid Muhammad bin Alawi bin ‘Abbas bin ‘Abdul Aziz al-Maliki al-Makki al-Hasani.
اللهم انشرنفحات الرضوان عليه وإمدنا بالأسرار التي أودعتهالديه. اللهم صل وسلم على جده النبي الأمين سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين
InsyaAllah kita akan menyambut maulid dalam waktu terdekat, oleh itu marilah menghadiri sambutan maulid di masjid, surau, balairaya atau dimana sahaja – hayatilah sirah yang dibaca, jiwailah shalawat yang dialunkan, fahamilah tazkirah yang disampaikan, karena ia akan menyuburkan serta menambahkan lagi rasa kasih serta cinta kita kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم .- jiwa kita akan lebih bertenaga untuk terus mengikuti segala ajarannya, jejak langkahnya dalam rangka kita mentaati Allah setiap detik dan ketika.
وصلى الله على خير خلقه سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين
-Abu Zahrah-
sumber:http://asysyifawalmahmuudiyyah.wordpress.com/category/sejarah-biografi/
Nabi SAW:مَنْ صَلَّى عَلَيَّ فِي كِتَابٍ لَمْ تَزَلِ الْمَلَائِكَةُ تَسْنَغْفِرُ لَهُ مَا دَامَ اسْمِي فِي ذَلِكَ الْكِتَابِ (Barang siapa menulis sholawat kpdku dlm sebtah buku, maka para malaikat selalu memohonkan ampun kpd Alloh pd org itu selama namaku masih tertulis dlm buku itu). اَلتَّحِيَّاتُ الْمُبَارَكَاتُ الصَّلَوَاتُ الطَّيِّبَاتُ لِلّٰهِ اَلسَّلاَمُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ اَلسَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللهِ الصَّالِحِيْنَ
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar