ABDUL HAMID MUDJIB HAMID BERSHOLAWAT

Senin, 04 Juli 2011

Al-Habib Muhammad bin Salim bin Hafidz BSA (Ayahanda Al-Habib Umar BSA Habib Sejuta Muhibbin)


Al-Habib Muhammad bin Salim bin Hafidz Bin Syeihk Abu Bakar Bin Salim (BSA)- 'Ulama Yang Hidupnya Mulia Dengan Ilmu dan Taqwa dan Matinya Mulia Dengan Anugerah Syahid(Ayahanda Al-Habib 'Umar BSA Habib Sejuta Muhibbin)
(Foto Al-Habib 'Umar BSA Habib Sejuta Muhibbin)

Pada tanggal 29 Dhulhijjah 1392H tatkala beliau dan anakandanya Umar yang ketika itu baru berusia 9 tahun beri'tikaf dalam Masjid Jami` Tarim menunggu masuk waktu sholat Jumaat, beliau telah dijemput oleh 2 orang polis dan dibawa ke balai yang berdekatan. Namun sebelum beliau dibawa pergi, beliau meninggalkan rida’nya [shalnya] ditempat duduknya …..

Sholat Jum’at sudah pun selesai, namun bayangan beliau masih belum kelihatan. Setelah puas menunggu, maka si anak kecil itu, akhirnya pulang sendirian dengan membawa syal milik ayahnya. Sejak dari saat itu tiada lagi khabar berita mengenai ayahanda kesayangannya. Hidup matinya tidak dapat dipastikan …. Tatkala dibawa pergi oleh pemerintah komunis itu, usia beliau telah menjangkau 60 tahun. Ramai yang percaya bahawa beliau telah syahid … dibunuh oleh komunis tersebut kerana khuatir akan pengaruh dan kelantangan beliau. Beliau yang dimaksudkan adalah al-Habib Muhammad bin Salim bin Hafidz رحمه الله iaitu ayahanda kepada al-Habib Umar, Pengasas Dar al-Mushthafa, Tarim, Hadramaut).


Nasab: Beliau adalah al-Habib Muhammad bin Salim bin Hafiz bin ‘Abdullah bin Abi Bakar bin ‘Aydrus bin Umar bin ‘Aydrus bin Umar bin Abi Bakar bin ‘Aydrus bin al-Hussin ibn al-Syaikh Abi Bakar bin Salim bin Abdullah bin Abdurrahman bin ‘Abdullah bin Abdurrahman al-Saqqaf bin Muhammad Maula al-Dawilah bin ‘Ali bin ‘Alawi bin al-Faqih al-Muqaddam Muhammad bin ‘Ali bin Muhammad Shahib al-Mirbath bin ‘Ali Khali’ Qasam bin ‘Alawi bin Muhammad bin ‘Alawi bin ‘Ubaidullah bin Ahmad al-Muhajir bin ‘Isa al-Rumi bin Muhammad al-Naqib bin ‘Ali al-Uraidhi bin Ja’far al-Shadiq bin Muhammad al-Baqir bin ‘Ali Zainal ‘Abidin bin Hussin putera kepada Sayyidina ‘Ali bin Abi Thalib dan Sayyidah Fathimah al-Zahra’ binti Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم . Beliau dilahirkan di Misthoh, sebuah kampung kecil di pinggir kota Tarim pada tahun 1332H.

Pendidikan: Mendapat didikian awal dari ayahandanya Habib Salim bin Hafidz. Kesan pendidikan ayahnya, ketika usianya meningkat dewasa, peribadinya dihiasi dengan budipekerti yang mulia. Selain berguru dengan ayahandanya yang terkenal alim, beliau juga turut berguru dengan Habib 'Ali bin 'Abdur Rahman al-Masyhur, Habib 'Abdullah bin 'Umar asy-Syathiri, Habib 'Alwi Bin Syihab, Sayyid Hamid al-Sirri, Sayyid ‘Ali bin Zein al-Hadi, Habib Ahmad bin ‘Umar asy-Syathiri, Habib Abdullah bin ‘Aydrus, Habib Hasan bin Muhammad Balfaqih, Habib Muhammad bin Hasan ‘Aidid, Habib Hasan bin Ismail, Syaikh Abu Bakar al-Khatib, Syaikh Muhammad bin ‘Iwadh BaFadhal, Habib Abdurrahman al-Saqqf, Habib Muhammad bin Hadi al-Saqqaf dan ramai lagi ulama Hadhramaut. Beliau juga telah mengembara ke Haramain, India, Pakistan dan lain-lain untuk menuntut ilmu dan berda’wah. Akhirnya beliau kembali ke Tarim dan mendirikan majlis-majlis ta'lim di sana selain menjalankan usaha dakwah ke daerah-daerah luar.
(Foto Habib Ali Al-Masyhur)
Dakwah dan mengajar: Dek kerana ketinggian ilmu dan akhlak serta kewarakannya, maka Habib Muhammad bin Salim dipilih menjadi Mufti Kota Tarim al-Ghanna. Sekalipun dilantik menjadi Mufti, beliau tetap bersikap tawadhu dan amat menghormati para gurunya dan para ulama lainnya. Hari-harinya dihabisi dengan berbagai amal ibadah dan menyampaikan ilmu, sehingga pernah dalam satu hari beliau mengendali dan hadir 16 majlis ilmu. Diantara tradisi beliau adalah mengkhatam kitab shohih al-Bukhari setiap tahun didalam bulan Rajab.

Dalam menyampaikan dakwah pula, Habib Muhammad terkenal lantang dalam menyeru umat kepada jalan Allah dan syariatNya. Suaranya dalam menyampaikan kebenaran tidak dapat dihalang sehingga dengan kepala diacukan pistol beliau telah menyatakan kebenaran tanpa takut dan gentar.

Karya: Walaupun beliau sibuk mengajar, berdakwah dan menjalankan tugas sebagai Mufti, beliau juga sempat menghasilkan beberapa buah karya, yang mana ada diantaranya yang telah dicetak dan sebahagiannya masih dalam bentuk manuskrip. Antara karya beliau:

Takmilah Zubdatul Hadits fil Faraidh,
Al-Miftah li Babin Nikah,
Al-Tazkirah al-Hadhromiyah,
Al-Fawaid al-Tsaminah,
Durus al-Tauhid,
Al-Wasilah lil Wiqawah,
Qurratul ‘Ain li Jawabi As`ilati Waadi al-‘Ain,
Al-Nafhah al-Wardiyah,
Nazam Maulid al-Haafidz ‘Imaad al-Diin ibn Katsir,
Dalil al-Muslim,
Al-Fawaid al-Nahwiyyah li Qaari` al-Ajrumiyah.


Manakala yang masih dalam bentuk manuskrip, antaranya

Majmu’ Kalam wa Mawa’idz al-Habib ‘Alwi bin Abdullah bin Syihab,
Manaqib al-Habib ‘Abdullah bin ‘Umar asy-Syathiri (ayahanda kepada al-Habib Salim Syathiri, Ribath Tarim)
Rehlah al-Habib Musthafa al-Muhdhar,
Diwan Syairnya dan
Himpunan Fatwanya.


Keluarga: Hasil dari perkahwinan beliau, Habib Muhammad dikurniai 11 orang cahaymata, yang antaranya adalah

Al-‘Allamah al-Faqih Habib ‘Ali al-Masyhur - Ketua Majlis Fatwa Tarim (gambar atas) ,
Al-Habib Ahmad ‘Athtos (beliau sering bersama-sama dengan Habib Umar ketika berdakwah di Asia Tenggara) - [gambar bawah bersama Habib Umar]
Al-Da’i ilaLlah al-‘Allamah al-Habib Umar (pengasas dan pengetua Dar al-Musthafa Tarim),
Habib Salim, dan
Habib ‘Abdullah


Ditangkap dan syahid dibunuh: Oleh kerana kelantangan dan ketegasan Habib Muhammad bin Salim bin Hafidz dalam menyampaikan da’wah membuatkan pemerintah ketika itu yang menganut ideologi komunis berasa gusar dan terancam, maka pada tanggal 29 Dhulhijjah 1392H tatkala beliau dan anakandanya Habib Umar yang ketika itu baru berusia 9 tahun beri'tikaf dalam Masjid Jami` Tarim menunggu masuk waktu sholat Jum’at, Habib Muhammad telah dijemput oleh 2 orang polis dan dibawa ke balai yang berdekatan. Sebelum dibawa pergi, beliau meninggalkan rida’nya [shalnya] ditempat duduknya. Sehingga usai sholat Jumaat, Habib Muhammad tidak kembali. Maka pulanglah Habib Umar yang masih kecil itu sendirian dengan membawa syal milik ayahnya. Sejak saat itu tiada khabar berita mengenai beliau dan tidak diketahui samada beliau telah wafat atau masih hidup. Usia beliau ketika itu 60 tahun.

Ramai yang percaya bahawa beliau telah dibunuh syahid oleh pemberontak komunis tersebut kerana khuatir akan pengaruh dan kelantangan beliau. Kini perjuangan dakwahnya diteruskan oleh murid-murid dan zuriat beliau, antaranya yang masyhur ialah Habib 'Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz yang terkenal diseluruh dunia sebagai seorang pendakwah. Seolah-olah, shal yang ditinggalkan seumpama bendera da’wah yang diwariskan kepada anaknya, Habib 'Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz untuk terus diperjuangkan. Dan kini Habib Umar meneruskan da’wahnya bukan sekadar dijazirah arab bahkan ke seluruh pelusuk dunia. Manakala al-'Allamah Habib 'Ali Masyhur pula terkenal sebagai ulama yang mempunyai ilmu yang tinggi, menjadi rujukan para ulama. Mudah-mudahan Allah melimpahkan keredhaanNya ke atas Habib Muhammad bin Salim bin Hafidz dan memberikan kepada kita sekalian keberkatan dan manfaat ilmunya....al-Fatihah.

اللهم انشرنفحات الرضوان عليه وإمدنا بالأسرار التي أودعتهالديه. اللهم صل وسلم على جده النبي الأمين سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين

Ya Allah! Sebarkanlah hembusan keredhaanMu keatasnya dan limpahkanlah, Ya Allah kepada kami segala rahsia yang Engkau simpan disisinya. Ya Allah kurniakanlah rahmat dan kesejahteraan keatas datuknya, Nabi al-Amin, penghulu kami Sayyidina Muhammad dan keatas keluarga dan shahabat-shahabatnya sekalian.


Sekian.
Catatan ini adalah merupakan sebahagian dari entri abuzahrah di blog al-Fanshuri di bawah tajuk ‘Catatan Perjalanan ke Tarim’.

sumber:http://al-fanshuri-kenaliulama.blogspot.com/2009/04/habib-muhammad-bin-salim-bin-hafidz.html

Tidak ada komentar:

Posting Komentar