ABDUL HAMID MUDJIB HAMID BERSHOLAWAT

Minggu, 03 Juli 2011

Biografi & Manaqib al-Imam al-Habib ‘Abdullah bin ‘Alwi bin Muhammad al-Haddad رضي الله عنه

Manaqib al-Imam al-Habib ‘Abdullah bin ‘Alwi bin Muhammad al-Haddad رضي الله عنه
============================================================================
Sempena Majlis Haul al-Imam al-Habib ‘Abdullah al-Haddad tahun 1430H, maka ambo ingin berkongsi sekelumit manaqib beliau رضي الله عنه. Manaqib serba ringkas ini sebenarnya dah pun ambo paparkan diblog al-Fanshuri sewaktu menceritakan pengalaman ziarah ke Hadramaut. Cuma yang ini, ambo tambah mana yang kurang. Untuk lebih mengenali beliau رضي الله عنه, bacalah kitab-kitab karangannya.

Nasabnya yang mulia: al-Habib Abdullah bin ‘Alawi bin Muhammad bin Ahmad bin Abdullah bin Muhammad al-Haddad bin ‘Alawi bin Ahmad bin Abi Bakar bin Ahmad bin Abi Bakar al–Thowil bin Ahmad bin Muhammad bin Abdullah bin al-Faqih Ahmad bin ‘Abdurrahman bin ‘Alawi bin Muhammad Shahib Mirbath bin ‘Ali bin ‘Alwi Khali’ Qasam bin Muhammad bin ‘Alwi bin Ubaidillah bin Ahmad al-Muhajir bin ‘Isa al-Rumi bin Muhammad an-Naqib bin ‘Ali al-Uraidhi bin Ja’far ash-Shadiq bin Muhammad al-Baqir bin ‘Ali Zain al-‘Abidin bin al-Hussin al-Sibth bin ‘Ali suami Fathimah al-Zahra’ binti Muhammad Rasulullah صلى الله عليه وسلم.

Al-Imam Al-Habib Abdullah bin ‘Alawi bin Muhammad bin ‘Ali al-Haddad رضي الله عنه diputerakan pada malam Itsnain 5 Shafar 1044H (30 Julai 1634M). [ada riwayat yang mengatakan bahwa beliau رضي الله عنه dilahirkan pada malam Khamis 5 Shafar 1044H sebagaimana disebut oleh Thoha bin Hasan bin 'Abdurrahman as-Seggaf]. Ini sebagaimana disebutkan oleh Syaikh ‘Ahmad bin ‘Abdul Karim al-Hasawi as-Sajjar didalam kitab yang bertajuk Tatsbitul Fuad bi Zikri Kalam Majalis al-Quthub al-Imam ‘Abdullah bin ‘Alawi bin Muhammad al-Haddad, beliau berkata: Beliau رضي الله عنه berkata:

Kami telah menghafaz tarikh kelahiran kami daripada ibu kami. Ibuku berkata: Aku dilahirkan pada malam Itsnain, tanggal 5 Safar, tahun 1044H. Beliau رضي الله عنه bercerita lagi: Seorang jiran wanita membungkusku dengan pakaian ayahku. Malam itu aku menangis dan menjerit-jerit sampai pagi. Lalu ibuku berkata kepada sebahagian wanita yang berada didalam rumah: Cuba engkau lihat, apa terjadi kepada anakku, kenapa dia tidak mahu diam. Wanita itu kemudian memeriksa kain yang membalutku. Ternyata didalamnya terdapat seekor kala jengking yang sangat besar. Badanku merah-merah kerana sengatannya [dalam setengah riwayat mengatakan lebih dari 20 sengatan].

Beliau didlahirkan disebuah perkampungan bernama Subair yang terletak berhampiran dengan kota Tarim di Wadi Hadhramaut, di Selatan Yaman. Beliau membesar didalam lingkungan keluarganya yang terkenal dengan kesholehan.

Ayahnya Habib ‘Alawi bin Muhammad al-Haddad, sejak kecil berada di bawah asuhan ibunya Hababah Salwa, yang dikenal sebagai wanita ahli ma’rifah dan wilayah. Bahkan al-Habib Abdullah bin Alawi al-Haddad رضي الله عنه sendiri banyak meriwayatkan kekeramatan ayahnya. Datuk al-Habib Abdullah al-Haddad dari sebelah ibunya Habib Umar bin Ahmad al-Manfar Ba’Alawi yang termasuk ulama yang mencapai darjat ma’rifah yang sempurna. Imam al-Haddad رضي الله عنه meriwayatkan sekitar 45 karamah yang dimilikinya.

Imam al-Haddad رضي الله عنه mendapat didikan awal dari ayahandanya Habib ‘Alawi bin Muhammad al-Haddad dan ibundanya Hababah Salma binti Idrus bin Ahmad bin Muhammad al-Habsyi .

Ketika umurnya 4 tahun, beliau رضي الله عنه telah diserang penyakit cacar hingga menyebabkan beliau buta kedua matanya. Walaubagaimanapun matahati terang benderang. Sewaktu kecilnya beliau tidak menghabiskan masanya dengan bermain sebagaimana anak kecil sebayanya. Beliau رضي الله عنه menghabiskan waktunya dengan menghafal al-Quran, bermujahadah an-Nafs dengan mengerjakan banyak ibadah dan mencari ilmu.

Ayahnya, al-Habib ‘Alawi bin Muhammad al-Haddad wafat pada malam itsnain awal bulan Rajab 1072H. Kemudian disusuli pula oleh ibunya iaitu pada hari Rabu, tanggal 24 Rajab 1072H. Ketika itu Imam al-Haddad sudah berumar 28 tahun.

Guru-gurunya: Diantara guru-guru beliau رضي الله عنه adalah:

al-Habib Muhammad bin ‘Alawi bin Abu Bakar bin Ahmad bin Abu Bakar bin ‘Abdurrahman al-Saqqaf (1002 – 1071H)
Syaikh Abu Bakar bin bin Imam ‘Abdurrahman bin ‘Ali bin Abu Bakar bin Syaikh ‘Abdurrahman al-Saqqaf
al-Habib ‘Aqil bin ‘Abdurrahman bin Muhammad bin ‘Ali bin ‘Aqil bin Syaikh Ahmad bin Abu Bakar bin Syaikh bin ‘Abdurrahman al-Saqqaf
al-Habib ‘Umar bin ‘Abdurrahman al-‘Atthas bin Aqil bin Salim bin Abdullah bin Abdurrahman bin Abdullah bin Abdurrahman al-Saqqaf (wafat:1072H).
al-Habib ‘Abdurrahman bin Syaikh Maula ‘Aidid Ba’alawi (wafat: 1068H)
Sayyid Syaikhan bin Imam al-Hussein bin Syaikh Abu Bakar bin Salim
al-Habib Syihabuddin Ahmad bin Syaikh Nashir bin Ahmad bin Syaikh Abu Bakar bin Salim
al-Habib Jamaluddin Muhammad bin Abdurrahman bin Muhammad bin Syaikh al-Arifbillah Ahmad bin Syaikh al-Hussein bin Syaikh al-Quthb al-Rabbani Abu Bakar bin Abdullah al-‘Aydrus (1035-1112H)
Sayyid al-Faqih al-Shufi Abdullah bin Ahmad Ba`alawi al-Asqa’
Sayyid Syaikh al-Imam Ahmad bin Muhammad al-Qusyasyi (wafat 1071H)
Khirqah Sufiyah: Imam al-Haddad رضي الله عنه menerima khirqah sufiyyah, antaranya daripada:

al-Habib ‘Aqil bin ‘Abdurrahman bin Muhammad bin ‘Ali bin ‘Aqil bin Syaikh Ahmad bin Abu Bakar bin Syaikh bin ‘Abdurrahman al-Saqqaf,
al-Habib ‘Umar bin ‘Abdurrahman al-‘Atthas bin Aqil bin Salim bin Abdullah bin Abdurrahman bin Abdullah bin Abdurrahman al-Saqqaf (wafat:1072H),
al-Habib Syihabuddin Ahmad bin Syaikh Nashir bin Ahmad bin Syaikh Abu Bakar bin Salim,
al-‘Arifbillah Syaikh Muhammad bin ‘Alawi as-Saqqaf al-Makki
Beliau adalah merupakan Quthub al-Aqtab pada zamannya. Dan ada ulama mengatakan bahwa beliau رضي الله عنه menduduki makam tersebut hampir 60 tahun.

Murid-muridnya: Murid-murid beliau, antaranya:-

al-Habib Hasan bin ‘Abdullah al-Haddad (anak beliau);
al-Habib Ahmad bin Zein al-Habsyi;
al-Habib ‘Abdurrahman bin ‘Abdullah Balfaqih;
al-Habib Muhammad bin Zein bin Smith;
al-Habib ‘Umar bin Zein bin Smith;
al-Habib ‘Umar bin ‘Abdurrahman al-Bar;
al-Habib ‘Ali bin ‘Abdullah bin Abdurrahman al-Saqqaf;
al-Habib Muhammad bin ‘Umar bin Thoha ash-Shafi al-Saqqaf;
Syaikh Ahmad bin Abdul Karim al-Hasawi asy-Syajjar
Al-Faqih BaJubair – beliau adalah merupakan guru kepada Imam al-Haddad dalam ilmu fiqih namun setelahnya ulama ini bellajar kitab Ihya kepada Imam al-Haddad. Imam al-Haddad berkata: Setelah kembali ke Hadramaut (dari India) dia belajar Ihya kepadaku. Aneh sekali! Dahulu aku belajar fiqih kepadanya, namun sekarang dia belajar ihya kepadaku.
dan ramai lagi
Penulisan: Beliau رضي الله عنه mula menulis ketika berumar 25 tahun dan karya terakhir beliau ditulis pada ketika usianya 86 tahun. Karya al-Habib Abdullah bin ‘Alawi al-Haddad, antaranya:-

Risalah al-Muzaakarah ma’a al-Ikhwan al-Muhibbin min Ahl al-Khair wa ad-Din (رسالة المذاكرة مع الإخوان المحبين من أهل الخير والدين) – kitab ini selesai ditulis pada hari Ahad sebelum waktu Dhuhur, akhir bulan Jumadilawwal 1069H.
Risalah al-Mu’aawanah wa al-Mudzaaharah wa al-Mu`aazirah li ar-Raghibin minal Mu’minin fi Suluki Thoriqil Akhirah (رسالة المعاونة والمظاهرة والمؤازرة للراغبين من المؤمنين في سلوك طريق الأخرة) – kitab ini selesai ditulis pada tahun 1069H, sewaktu beliau berusia 26 tahun. Dan ditulis atas permintaan Habib Ahmad bin Hasyim al-Habsyi.
Risalah Aadab Suluk al-Murid (رسالة آداب سلوك المريد) – kitab ini selesai penulisannya pada tanggal 7 atau 8 Ramadhan, tahun 1071H.
Ithaf as-Saail bi Jawaab al-Masaail (إتحاف السائل بجواب المسائل) – kitab ini adalah merupakan kumpulan jawaban atas pelbagai persoalan yang diajukan kepada beliau oleh Syaikh ‘Abdurrahman Ba’Abbad asy-Syibaami. Dan ianya ditulis sewaktu Imam al-Haddad berkunjung ke Dau’an pada tahun 1072H. Kitab ini mengandungi 15 pertanyaan dengan jawaban dan ulasan yang mendalam dari Imam al-Haddad. Selesai ditulis pada hari Jum’at, 15 Muharram 1072.

An-Nashoih ad-Diniyah wa al-Washoya al-Imaniyah (النصائح الدينية والوصايا الإيمانية) – kitab ini beliau tulis pada usia 45 tahun. Selesai ditulis pada hari Ahad, 22 Sya’ban 1089H. Kitab ini mendapat pujian dari para ulama kerana ianya merupakan suatu ringkasan daripada Ihya. Kata-kata di dalam kitab ini mudah, kalimatnya jelas, perbahasannya sederhana dan disertai dengan dalil yang kukuh. Sesuai dibaca oleh orang awwam dn juga khawas.
Sabil al-Iddikar wa al-I’tibaar bima Yamurru bi al-Insan wa Yanqadhi lahu min al-’A’maar (سبيل الإدكار والا عتبار بما يمر بالإنسان وينقضي له من الأعمار) – terdapat perbedaan pendapat mengenai usia Imam Haddad menulis kitab ini. Ada yang mengatakan pada ketika beliau berusia 60 tahun (1104H) atau 63 tahun (1107H). Dan ada yang mengatakan kitab ini diselesaikan pada hari Ahad 29 Sya’ban 1110H. Kitab ini membahaskan mengenai fasa-fasa hidup manusia.

Ad-Da’wah at-Tammah wa at-Tazkirah al-‘Ammah (الدعوة التامة و التذكرة العامة) – kitab ini diselesaikan oleh Imam al-Haddad pada usia beliau 70 tahun. Selesai ditulis pada pagi Jum’at 27 atau 28 Muharram 1114H.
An-Nafais al-‘Uluwiyyah fi al-Masaail as-Shufiyyah (النفائس العلوية في المسائل الصوفية) – kitab ini selesai ditulis pada hari Khamis, bulan Dhulqaedah 1125H. Usia Imam al-Haddad pada ketika ini adalah 81 tahun. Kitab ini membahaskan masalah yang berkaitan dengan shufi.

Al-Fushul al-‘Ilmiyyah wa al-Ushul al-Hikamiyah (الفصول العلمية والأصول الحكمية) – kitab ini selesai ditulis pada 12 Shafar 1130H iaitu ketika Imam al-Haddad berusia 86 tahun iaitu 2 tahun sebelum kewafatan beliau.

Kitab al-Hikam (كتاب الحكم )

Mukhatabat wa Washoya ( مكاتبات و وصايا )
Wasilah al-‘Ibaad ila Zaad al-Ma’aad (وسيلة العباد إلى زاد المعاد);
Ad-Durr al-Mundzum li Zaawil ‘Uqul wa al-Fuhuum (الدر المنظوم لذوي العقول والفهوم);
Tastbitul Fuad ( تثبيت الفؤاد)- dikumpul oleh murid beliau Syaikh Ahmad bin Abdul Karim al-Hasawi asy-Syajjar)
Kebanyakkan karya beliau telah diterjemahkan ke bahasa Inggeris , Perancis dan juga bahasa Indonesia dan Malaysia.

Ibadahnya: Beliau رضي الله عنه sangat bersungguh-sungguh didalam mengerjakan ibadah dan mujahadah an-Nafs sedari usianya masih kanak-kanak. Pada bidayahnya beliau mengunjungi seluruh masjid di kota Tarim untuk beribadah. Beliau sentiasa berjaga malam untuk mengerjakan ibadah. Hampir 40 tahun beliau bersholat shubur dengan wudhu` sholat ‘Isya`. Banyak berzikir dan membaca al-Quran. Biji tasbihnya berjumlah 1000 biji. Beliau menunaikan ibadah haji pada tahun 1079H, iaitu ketika berusia 35 tahun. Beliau juga mengambil kesempatan tersebut untuk bertemu para ulama di Haramain.

Akhlaqnya: Akhlaqnya mencontohi akhlaq datuknya, Rasulullah صلى لله عليه وآله وسلم samaada pada perkataan atau perbuatannya. Terkenal sebagai seorang yang pemurah. Sentiasa manis bibirnya dengan senyuman dan menngembirakan orang lain. Sangat memberi perhatian kepada penuntut ilmu dan majlis ilmu. Membalas kejahatan dengan kebaikan. Sangat wara’ dalam perkara-perkara syubhat. Kalau memberi upah beliau akan memberi lebih tinggi daripada yang diharapkan. Beliau رضي الله عنه juga adalah seorang yang sangat menyayangi kaum faqir miskin. Beliau pernah berkata: Andaikata aku berupaya atau mampu, tentu akan aku penuhi keperluan semua kaum miskin, sebab pada awalnya, agama ini ditegakkan oleh kaum mu’minin yang lemah. Beliau juga berkata: Dengan sesuap makanan tertolaklah berbagai bencana.

Beliau رضي الله عنه seorang yang tidak menyukai kemasyhuran atau kemegahan dan tidak suka dipuji. Beliau berkata: Banyak orang membuat syair-syair untuk memujiku. Sesungguhnya aku hendak mencegah mereka, tetapi aku khuatir tidak ikhlas dalam berbuat demikian. Maka kubiarkan mereka berbuat sekehendaknya. Dalam hal ini aku lebih suka meneladani Nabi صلى الله عليه وآله وسلم kerana Baginda pun tidak melarang ketika shahabat Baginda membacakan syair-syair pujian kepada Baginda.

Oleh kerana beliau رضي الله عنه seorang khumul, menghindari syuhrah (kemasyhuran), sangat tidak suka orang membicarakan karamahnya maka beliau pernah memerintahkan muridnya melupuskan (dengan menghanyutkan kesungai) 2 jilid kitab disusun yang menyebut tentang karamahnya. Dan beliau selalu mennashihati muridnya untuk tidak melakukan ibadah untuk mendapatkan karamah.

Beliau رضي الله عنه juga suka mendirikan masjid, antara yang dibinanya adalah Masjid al-Awwabin, Masjid al-Abrar, Masjid al-Abdal, Masjid al-Fath, Masjid at-Tawwabin dan Masjid Ba’Alawi di Basyon.

Karamahnya: Al-Habib ‘umar bin Zain bin Sumaith mengatakan bahwa seorang waliyullah yang hidup sezaman dengan al-Imam ‘Abdullah bin ‘alawi al-Haddad dan bermuqim di Mekah – sehari setelah kewafatan Imam al-Haddad – telah memberitahu kepada sejumlah orang di Mekah bahwa semalam Imam al-Haddad telah wafat. Ketika ditanya, darimana waliyullah itu tahu hal tersebut, maka beliau menjawab: Tiap hari siang dan malam, saya melihat beliau (Imam al-Haddad) selalu datang thawaf Ka’bah (padahal Imam al-Haddad berada di Tarim). Hari ini aku tidak melihatnya lagi, kerana itu aku mengetahui bahwa beliau sudah wafat.

Pujian Ulama Keatasnya: Mufti Hadhramaut, Habib ‘Abdur Rahman bin Muhammad bin Husain bin ‘Umar al-Masyhur Ba ‘Alawi dalam Ghaayatu Talkhish al-muraad min fatawa Ibni Ziyaad menyatakan bahawa Imam a-Haddad رضي الله عنه adalah merupakan mujaddid kurun ke-11H. Pada halaman 293 – 294 di pinggir Bughyatul Mustarsyidin, beliau menyatakan:- [Masalah] Hadits “Bahawasanya Allah akan membangkitkan buat umat ini pada awal setiap 100 tahun orang yang akan memperbaharui (mentajdidkan) agama umat ini (yakni yang akan memperbaharui pegangan dan keyakinan umat terhadap agama mereka),” dikeluarkan hadits ini oleh Imam Abu Dawud dan Imam al-Hakim dan selain kedua mereka. Dan dalam lafaz lain dinyatakan “Pada setiap 100 tahun seorang lelaki daripada ahli baitku,” sebagaimana dinyatakan oleh Imam Ahmad. Berkata Imam as-Sayuthi, hadits ini adalah masyhur dengan diriwayatkan oleh para hafiz yang muktabar. Maka mujaddid bagi:-

Kurun pertama: Sayyidina ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz;
Kurun ke-2: Imam Muhammad bin Idris asy-Syafi`i;
Kurun ke-3: Ibnu Suraij atau al-Asy’ari;
Kurun ke-4: ash-Sha’luki atau Abu Hamid al-Isfaraini atau Qadhi Abu Bakar al-Baaqilani;
Kurun ke-5: Imam al-Ghazali tanpa ada khilaf;
Kurun ke-6: al-Fakhrur Razi atau ar-Rifaa`i;
Kurun ke-7: Ibnu Daqiiqil ‘Eid;
Kurun ke-8: al-Bulqini dan Zainuddin al-’Iraqi atau Ibnu Bintil Mailaq;
Kurun ke-9: Syaikh Zakaria al-Anshari sebagaimana dinyatakan oleh guru kami ath-Thanbadaawi dan adalah Imam asy-Sayuthi telah menisbahkan tajdid kepada dirinya (yakni menyatakan dirinya sebagai mujaddid), dan tiada syak bahawa Syaikh Zakaria lebih memberi manfaat (buat umat) dan lebih masyhur, maka dialah mujaddid ke-9 ini, insya-Allah;
Kurun ke-10: yang aku jumpa daripada keterangan para masyaikh bahawa mujaddid kurun ini ialah Syaikh Ahmad bin Hajar al-Haitami atau Imam Muhammad ar-Ramli, dan dirajihkan oleh sebahagian ulama bahawa mujaddidnya ialah Imam Muhammad ar-Ramli kerana Imam Ibnu Hajar meninggal sebelum berlalu kurun (yakni Imam Ibnu Hajar meninggal di akhir kurun dan tidak bertemu dengan awal kurun yang baru);
Kurun ke-11: Sayyidinal Quthub ‘Abdullah bin ‘Alawi al-Haddad ‘Alawi;
Kurun ke-12: al-Quthub Ahmad bin ‘Umar bin Sumaith Alawi. [petikan dari blog Ustaz Abu Muhammad - Bahrusshofa]

Seorang ulama menggambarkan kedudukan beliau dengan ungkapan: Didalam dunia tasawwuf Imam al-Ghazali ibarat pemintal kain, Imam ‘Abdul Wahab asy-Sya’rani ibarat tukang potong dan al-Habib Abdullah bin ‘Alawi al-Haddad adalah penjahitnya.

Syaikh Hussin bin Muhammad BaFadhal al-Makki (wafat 1087H) mengatakan: Bahwa ada 3 tokoh pada masanya. Pertama, yang halnya menutupi maqalnya iaitu Al-Habib Muhammad bin ‘Alwi al-Saqqaf (mufti Mekah), kedua yang maqalnya menutupi halnya iaitu Syaikh Ahmad al-Qusyasyi (mufti Madinah, wafat 1071H), dan ketiga, yang sampai pada darjah sempurna diantara hal dan maqalnyanya itu al-Imam al-Habib ‘Abdullah bin ‘Alawi al-Haddad. Syaikh Hussin baFadal juga mengatakan: Dia (Imam al-Haddad) adalah lautan bathin dan dzahir.

Al-Habib Abu Bakar al-Jufri (wafat 1089H) mengatakan: Aku telah berkumpul dengan lebih dari 40 orang waliyullah, tetapi aku tidak pernah mneyaksikan seperti Sayyid ‘Abdullah al-Haddad, dan tidak ada pula yang mengunggulinya. Dia ialah Nafas Rahmani.

Kewafatannya: Khamis 27 Ramadhan 1132H, beliau mula sakit dan sakitnya berlanjutan selama 40 hari sampai akhirnya pada malam Selasa 7 Dzulqaedah 1132H (bersamaan 10 September 1720M), al-Habib Abdullah bin ‘Alawi bin Muhammad bin ‘Ali al-Haddad رضي الله عنه dijemput Allah kehadratNya ketika berusia 89 tahun. Makam beliau رضي الله عنه terletak di kawasan pemakaman Zanbal, di kota Tarim. Semoga Allah melimpahkan rahmatNya kepada ruhnya dan memberi manfaat kepada kita dengan ilmu-ilmunya

اَلَّلهُمَّ انْشُرْنَفَحَاتِ الِّرضْوَانِ عَلَيْهِ، وَأَمِدَّنَا بِالأَسْرَارِ الَّتِي أَوْدَعْتَهَالَدَيْهِ. اَلَّلهُمَّ صَلِّ عَلىَ جَدِّهِ النَّبِيِّ الأَمِيْنَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعْيْنَ

Ya Allah! Sebarkanlah hembusan keredhaanMu ke atasnya dan limpahkanlah ya Allah, kepada kami segala rahsia yang Engkau simpan disisinya. Ya Allah! Kurniakanlah rahmat dan kesejahteraan keatas nendanya, Nabi al-Amin, penghulu kami Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم dan keatas keluarga dan shahabat-shahabatnya sekalian

الفاتحة إلى حضرة النبي محمد صلى الله عليه وآله وسلم وإلى روح سيدنا قطب الإرشاد وغوث العباد والبلاد الحبيب عبد الله بن عاوي بن محمد الحداد وأصوله وفروعهم أن الله يعلي درجاتهم في الجنة ويكثر من مثوباتهم ويضاعف حسناتهم ويحفظنا بجاههم وينفعنابهم ويعيد علينا من بركاتهم وأسرارهم وأنوارهم وعلومهم ونفحاتهم في الدين والدنيا والآخرة – الفاتحة

Sebagai mengakhiri manaqib ringkas Imam al-Haddad, ambo bawakan sepotong nashihat beliau yang sangat berharga untuk panduan kita ….. dari himpunan syair beliau berjudul ad-Durrul Mandzum yang ambo petik dari blog Ustaz Abu Muhammad (Bahrusshofa)

Jika kau ingin hidup bahagia sepanjang umurmu dan setelah mati, kuburmu dijadikan taman syurga;

Dan engkau dibangkitkan tatkala tiupan sangkakala dalam keadaan aman dari rasa takut, terancam, terusir dan dari kerugian;

Dan dihadapkan (kepada Allah) dalam kemuliaan dan keagungan, diberi khabar gembira oleh para malaikat dengan kejayaan dan ganjaran pahala;

Dan diberatkan timbangan amalanmu dengan amalan-amalan yang menggembirakan engkau di Padang Mahsyar;

Dan engkau melintasi sepantas kilat titian ash-Shirath, serta meneguk minuman dari telaga Nabi al-Mustofa yang suci;

Dan hidup kekal dalam syurga-syurga yang tinggi penuh keni’matan, mendapat bahagian untuk dekat dengan Tuhan yang Satu, Maha Esa dan Tunggal;

Dan engkau melihatNya dengan matamu dalam keadaan Dia Maha Suci dari bertempat, dari kaifiyyat, dari had dan batasan;

Maka perelokkan keyakinanmu, kerana sesungguhnya apabila keyakinan telah sempurna, yang ghaib akan nampak nyata tanpa diengkari;

Dan jadikanlah Asy’ariyyah sebagai pegangan i’tiqadmu, kerana sesungguhnya ia adalah sumber minuman yang suci bersih dari penyimpangan dan kekufuran;

Dan telah menyusun Quthubul Imam sandaran kita, ‘aqidahnya yang merupakan penawar bagi segala marabahaya;

Dan orang yang kumaksudkan dengannya itu ialah satu-satunya yang disifatkan dengan gelaran Hujjatul Islam (yakni Imam al-Ghazali رحمه الله ), maka sudah sepatutnya engkau berasa bangga.
======================================
al-fanshuri-kenaliulama.blogspot.com

Tidak ada komentar:

Posting Komentar