Al-Imam Junaid Al-Baghdadi RA
Imam Junaid Al-Baghdadi RA adalah seorang 'ulama'
sufi dan wali Alloh yang paling menonjol namanya di kalangan ahli-ahli
sufi. Tahun kelahiran Imam Junaid tidak dapat dipastikan. Tidak banyak
dapat ditemui tahun kelahiran beliau pada biografi lainnya. Beliau
adalah orang yang terawal menyusun dan memperbahaskan tentang ilmu
tasauf dengan ijtihadnya. Banyak kitab-kitab yang menerangkan tentang
ilmu tasauf berdasarkan kepada ijtihad Imam Junaid Al-Baghdadi RA.
Imam Junaid adalah seorang ahli perniagaan yang berjaya. Beliau memiliki sebuah gedung perniagaan di kota Baghdad yang ramai pelanggannya. Sebagai seorang guru sufi, beliau tidaklah disibukkan dengan menguruskan perniagaannya sebagaimana sesetengah peniaga lain yang kaya raya di Baghdad.
Waktu perniagaannya sering disingkatkan seketika kerana lebih
mengutamakan pengajian anak-anak muridnya yang dahagakan ilmu
pengetahuan. Apa yang mengkagumkan ialah Imam Junaid akan menutup
kedainya setelah selesai mengajar murid-muridnya. Kemudian beliau balik
ke rumah untuk beribadat seperti solat, membaca al-Quran dan berzikir.
Setiap malam beliau berada di masjid besar Baghdad untuk menyampaikan
kuliahnya. Ramai penduduk Baghdad datang masjid untuk mendengar
kuliahnya sehingga penuh sesak.
Imam Junaid hidup dalam keadaan zuhud. Beliau redha dan bersyukur
kepada Allah SWT dengan segala nikmat yang dikurniakan kepadanya. Beliau
tidak pernah berangan-angan untuk mencari kekayaan duniawi dari sumber
pekerjaannya sebagai peniaga.
Beliau akan membahagi-bahagikan sebahagian dari keuntungan
perniagaannya kepada golongan fakir miskin, peminta dan orang-orang tua
yang lemah.
Bertasawwuf Ikut Sunnah Rasulullah saw
Imam Junaid seorang yang berpegang kuat kepada al-Quran dan
as-Sunnah. Beliau sentiasa merujuk kepada al-Quran dan sunnah Rasulullah
saw dalam setiap pengajiannya.
Beliau pernah berkata:
“Setiap jalan tertutup, kecuali bagi mereka yang sentiasa mengikuti
perjalanan Rasulullah saw. Sesiapa yang tidak menghafal al-Quran, tidak
menulis hadis-hadis, tidak boleh dijadikan ikutan dalam bidang tasauf
ini.”
Memiliki Beberapa Kelebihan dan Karamah
Imam Junaid mempunyai beberapa kelebihan dan karamah. Antaranya ialah berpengaruh kuat setiap kali menyampaikan kuliahnya. Kehadiran murid-muridnya di masjid, bukan saja terdiri daripada orang-orang biasa malah semua golongan meminatinya.
Imam Junaid mempunyai beberapa kelebihan dan karamah. Antaranya ialah berpengaruh kuat setiap kali menyampaikan kuliahnya. Kehadiran murid-muridnya di masjid, bukan saja terdiri daripada orang-orang biasa malah semua golongan meminatinya.
Masjid-masjid sering dipenuhi oleh ahli-ahli falsafah, ahli kalam,
ahli fekah, ahli politik dan sebagainya. Namun begitu, beliau tidak
pernah angkuh dan bangga diri dengan kelebihan tersebut.
Diuji Dengan Seorang Wanita Cantik
Setiap insan yang ingin mencapai keredhaan Allah selalunya menerima
ujian dan cabaran. Imam Junaid menerima ujian daripada beberapa orang
musuhnya setelah pengaruhnya meluas. Mereka telah membuat fitnah untuk
menjatuhkan imej Imam Junaid.
Musuh-musuhnya telah bekerja keras menghasut khalifah di masa itu
agar membenci Imam Junaid. Namun usaha mereka untuk menjatuhkan
kemasyhuran Imam Junaid tidak berhasil.
Musuh-musuhnya berusaha berbuat sesuatu yang boleh memalukan Imam
Junaid. Pada suatu hari, mereka menyuruh seorang wanita cantik untuk
memikat Imam Junaid. Wanita itu pun mendekati Imam Junaid yang sedang
tekun beribadat. Ia mengajak Imam Junaid agar melakukan perbuatan
terkutuk.
Namun wanita cantik itu hanya dikecewakan oleh Imam Junaid yang
sedikitpun tidak mengangkat kepalanya. Imam Junaid meminta pertolongan
dari Allah agar terhindar daripada godaan wanita itu. Beliau tidak suka
ibadahnya diganggu oleh sesiapa. Beliau melepaskan satu hembusan
nafasnya ke wajah wanita itu sambil membaca kalimah Lailahailallah.
Dengan takdir Tuhan, wanita cantik itu rebah ke bumi dan mati.
Khalifah yang mendapat tahu kematian wanita itu telah memarahi Imam Junaid kerana menganggapnya sebagai suatu perbuatan jenayah.
Lalu khalifah memanggil Imam Junaid untuk memberikan penjelasan di
atas perbuatannya. “Mengapa engkau telah membunuh wanita ini?” tanya
khalifah.
“Saya bukan pembunuhnya. Bagaimana pula dengan keadaan tuan yang
diamanahkan sebagai pemimpin untuk melindungi kami, tetapi tuan berusaha
untuk meruntuhkan amalan yang telah kami lakukan selama 40 tahun,”
jawab Imam Junaid.
Wafatnya
Akhirnya kekasih Allah itu telah menyahut panggilan Ilahi pada 297
Hijrah. Imam Junaid telah wafat di sisi As-Syibli, seorang daripada
muridnya.
Ketika sahabat-sahabatnya hendak mengajar kalimat tauhid, tiba-tiba
Imam Junaid membuka matanya dan berkata, “Demi Allah, aku tidak pernah
melupakan kalimat itu sejak lidahku pandai berkata-kata.”
Tidak ada komentar:
Posting Komentar